Surau Nurul Yaqin, IPG Kent

5.1.09

PISANG DAN HATI

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci. Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

by : nadhirah_baharin

1.1.09

Salam Hijrah

Assalamualaikum w.b.t..

Biar suka atau tidak, masa yang telah berlalu PASTI TIDAK KEMBALI lagi. Sekarang kita sudah pun berada dalam tahun 1430H dan dalam masa yang sama sudah beberapa jam yang lalu kita telah meninggalkan tahun 2008 yang tentunya meninggalkan banyak memori pahit manis dalam kehidupan kita.

Apa yang pasti, segala yang telah berlalu, bersama-sama kita renung dan buat muhasabah. Segala yang baik kita jadikan teladan dan teruskan untuk masa-masa mendatang manakala yang kurang baik atau tidak baik itu, kita jadikan sebagai sempadan dan ambil pengajaran.

Semoga 1430H dan 2009 masihi ini akan memberikan lebih banyak peluang dan ruang kesempatan kepada kita untuk sama-sama membetulkan niat dan mengikhlaskan diri dalam setiap perkara yang kita lakukan. Mungkin bagi pihak BADARSMESH sendiri, kami berharap agar mempunyai peluang untuk meneruskan agenda dakwah dan tarbiyyah dengan usaha dan aktiviti yang lebih tersusun dan berperancangan untuk memastikan generasi pelajar yang lahir dari bumi SMESH bukan sahaja gemilang akademiknya malah gemilang dari sudut akhlak dan sahsiahnya, insya-Allah. Bersama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk mencapainya.

---------------------------------------------------------------------------------

Satu Muharam detik permulaan,
Perkiraan tahun Islam Hijrah,
Perpindahan Nabi dan umat Islam,
Dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Atas keyakinan dan iman yang teguh,
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu,
Rela berkorban harta dan nyawa,
Demi menegakkan Islam tercinta.

Hijrah itu pengorbanan,
Hijrah itu perjuangan,
Hijrah itu persaudaraan,
Hijrah membentuk perpaduan.

Oleh itu mari semua,
Kita sambut Maal Hijrah,
Tingkatkan semangat tegakkan syiar islam,
Untuk sepanjang zaman,
Untuk sepanjang zaman,
Untuk sepanjang zaman...